Jurulatih skuad Kedah, Aidil Sharin Sahak, tidak beranggapan pasukannya diambang kejatuhan walaupun skrip berbeza dilaluinya musim ini.



Mendahului hampir keseluruhan permainan menerusi jaringan Kpah Sherman namun gol penyamaan UiTM menerusi Gustavo Almeida pada minit ke-81 meleburkan hajat besar Kedah untuk meraih kemenangan pertama musim ini.

Sebaliknya, anak buah Aidil terpaksa berkongsi satu mata dengan UiTM selepas perlawanan semalam berkesudahan seri 1-1.

Melewati tiga perlawanan tanpa kemenangan, situasi tersebut jelas berbeza buat skuad Lang Merah berbanding musim lalu menerusi lima perlawanan tanpa kalah.

"Jika mulai perlawanan seterusnya kami akan meraih kemenangan, anda semestinya akan memberitahu bahawa prestasi Kedah sudah meningkat. Buat masa ini, kami sedang berusaha untuk mendapatkan rentak permainan daripada perlawanan ke perlawanan," kata Aidil ketika sidang media pasca-perlawanan.

"Kami memiliki banyak peluang yang memenangi perlawanan ini. Kedua-dua pasukan telah berusaha dengan sebaik mungkin dan kami berasakan satu mata yang diraih berhak buat UiTM dan Kedah," kata pengendali UiTM, Frank Bernhardt.

Sementara itu, Penjaga gol Kedah, Shahril Saari, kecewa gagal membantu pasukannya meraih kemenangan dalam penampilan pertama dalam saingan Liga Super musim ini.

"Selepas digantung lima perlawanan, saya bergembira kerana kembali beraksi dalam perlawanan ini. Saya agak kecewa kerana gagal meraih kemenangan untuk pasukan kerana ia amat diperlukan buat pasukan ketika ini. Kami akan terus berusaha dalam perlawanan berikutnya," kata Shahril.