Aidil mahu Kedah fokus tiga perlawanan terakhir

Oleh Ammar Hakim 22 September 2020 1532
Aidil mahu Kedah fokus tiga perlawanan terakhir
Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, tampak hanya fokus untuk melunaskan misi menjadi naib juara Liga Super musim ini apabila mengakui persaingan merebut gelaran liga adalah sukar walaupun pasukannya terus menghambat pendahulu Johor Darul Ta'zim (JDT) hasil kemenangan 3-1 ke atas Sabah semalam.

"Sejujurnya, kami tidak membandingkan pasukan kami dengan JDT, mereka di tahap berbeza dalam saingan liga dan mereka memiliki barisan pemain yang berkualiti," katanya. 

"Seperti apa yang saya katakan sebelum ini mereka memiliki pengurusan yang baik. Kami hanya mahu memberikan tumpuan kepada permainan kami. Setiap perlawanan adalah penting dan kami akan cuba melakukan yang terbaik dalam tiga perlawanan terakhir.

Kejayaan menundukkan Sabah membolehkan Kedah mencatat kemenangan kelima berturut-turut dan ia dibantu hasil jaringan Kpah Sean Sherman, Tchetche Kipre dan Fayadh Zulkifli Amin.

Aidil mengakui semangat berpasukan adalah rahsia di sebalik prestasi cemerlang pasukannya walaupun dihantui dengan kemelut tunggakan gaji yang hampir melumpuhkan skuad Lang Merah musim ini.

Sementara, jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto, mengakui bersedia dengan sebarang kemungkinan mengenai masa depannya bersama skuad Tambadau setelah pasukan dari Borneo itu kini diambang penyingkiran liga.

"Ya memang ini membuat perjuangan kami untuk kekal dalam Liga Super lebih berat tetapi saya percaya dengan para pemain masih lagi akan berusaha, kami masih lagi berbaki tiga perlawanan.

"Pasti, saya sebagai pelatih profesional tentu sudah mengetahui segala risiko yang harus saya hadapi apa keputusan daripada pihak pengurus akan saya terima dengan lapang dada".
 

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen