Isu peletakan jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) semakin menarik apabila barisan exco yang mengadakan mesyuarat khasnya hari ini mengambil keputusan untuk menolak hajat Tan Sri Annuar Musa dengan alasan khidmat 'Bapa Pembangunan Bola Sepak Kelantan' itu masih diperlukan sehingga 2018.

Timbalan Presiden KAFA, Datuk Seri Affendi Hamzah, berkata semua exco yang menghadiri mesyuarat iitu diberi peluang untuk menyatakan padangan terhadap isu berkenaan dan semuanya sepakat untuk menolak surat peletakan jawatan Annuar.

Mereka juga merayu Annuar mempertimbangkan semula keputusannya demi masa depan bola sepak Kelantan.

“Semua exco menyatakan pandangan masing-masing dan sepakat untuk menolak hasrat presiden melepaskan jawatan.

"Kami juga merayu supaya Tan Sri, yang dipilih melalui kongres KAFA pada tahun 2014, mempertimbangkan semula keputusan itu memandangkan tiada tokoh yang layak menggantikannya.

“Tan Sri Annuar juga dianggap berjaya mentransformasi bola sepak Kelantan ke satu tahap yang cemerlang dan saya merayu kepada semua pihak, termasuk peminat dan netizen, untuk memberi peluang dan ruang kepada presiden menyelesaikan banyak isu demi kejayaan bola sepak Kelantan,” katanya dalam sidang media di Wisma Sukan, Majlis Sukan Negeri (MSN), Telipot, Kota Bharu.

Ditanya jika Annuar tetap berkeras dengan keputusannya untuk meletak jawatan, Affendi enggan berfikiran negatif, sebaliknya mohon diberi masa untuk satu perjumpaan dalam masa terdekat.

“Saya tidak mahu membuat sebarang andaian jika Tan Sri masih kekal dengan keputusannya untuk meletak jawatan.

"Biar kami (ahli exco) bertemu dengannya dalam masa terdekat untuk mengemukakan keputusan mesyuarat khas ini,” katanya.

Suhu bola sepak Kelantan berada pada tahap tertinggi apabila Annuar Musa mengumumkan hasrat untuk meletak jawatan jawatan dengan alasan ingin memberi peluang kepada calon lain yang difikirkan mampu mengangkat kecemerlangan bola sepak Kelantan sebagaimana yang berjaya dilakukan oleh negeri-negeri lain.

Annuar yang dianggap sebagai Bapa Pembangunan Bola Sepak Kelantan, diberi kepercayaan menerajui kepimpinan KAFA bagi penggal 2007/2010.

Bersama kepimpinan dinamik, The Red Warriors (TRW, berjaya mencapai puncak kegemilangan apabila menjuarai Piala Malaysia dan naib juara Liga Super pada 2010.