Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan venue berkecuali bagi aksi Kelayakan Piala Asia 2019 di antara Malaysia dan Korea Utara berikutan Persatuan Bola Sepak Korea Utara masih belum mengusulkan sebarang cadangan.

Menjelang tarikh tutup esok, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John, mengesahkan masih belum menerima sebarang usul daripada negara berkenaan.

Jika perkara ini berlanjutan sehingga tarikh yang ditetapkan, Windsor menegaskan bahawa AFC mempunyai kuasa untuk menentukan sendiri venue perlawanan itu.

"Dua perkara boleh berlaku, iaitu perlawanan akan diadakan di gelanggang berkecuali sekiranya Korea Utara tidak mengusulkan cadangan.

"Dan sehingga 8 Mei nanti, kalau situasi ini (hubungan diplomatik Malaysia dan Korea) kembali normal, pihak AFC boleh menentukan sama ada venue perlawanan boleh dilangsungkan di Pyongyang atau di gelanggang berkecuali," ujarnya.

Tambah Windsor, negara yang terpilih juga perlu mempunyai hubungan diplomatik dengan Korea Utara untuk dijadikan sebagai venue berkecuali.

Perkara lain yang turut diberi penekanan adalah mempunyai stadium yang mencapai piawaian ditetapkan dan kesediaan negara terbabit menyediakan kawalan keselamatan ketika perlawanan itu dilangsungkan.
"Negara terpilih perlu memberi jaminan bahawa mereka mampu menyediakan urusan visa, permit kepada kedua-dua pasukan, penyokong dan media selain daripada kawalan keselamatan."