"Jika pasukan Liga Malaysia gagal mematuhi tarikh akhir pada 30 September ini untuk menukar status daripada FA (persatuan bola sepak) kepada FC (kelab bola sepak), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang perlu menanggung malu."

Ketegasan itu dinyatakan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor John, sebagai amaran kepada majoriti pasukan yang masih belum melengkapkan proses pertukaran itu.

Menerusi temubual dalam rancangan Bola@Mamak hari ini, Windsor mendedahkan bahawa AFC pada 2017 sudah berlembut untuk memberikan lanjutan selama tiga tahun kepada FAM untuk melengkapkan proses itu

Bagaimanapun, dengan majoriti pasukan masih terkial-kial untuk memenuhi syarat-syarat ditetapkan, AFC sedia mengambil langkah yang bukan sahaja memalukan FAM, malah lebih menyukarkan pasukan Liga Malaysia yang layak bertanding dalam kejohanan anjuran badan induk Asia itu.

"Kalau tidak boleh buat perubahan ini, pada tahun 2021, pelesenan daripada FAM tidak akan diiktiraf oleh AFC, itulah akibatnya.

"Jadi, sekiranya juara liga tahun ini mahu bermain di peringkat AFC, mereka perlu memohon lesen secara langsung daripada AFC dan tidak melalui FAM.

"Ia satu perkara yang tidak bagus untuk FAM," katanya.