Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul, menegaskan pihaknya sedia berkompromi sekiranya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memilih untuk membuat keputusan luar biasa.

Ia merujuk kepada kemungkinan untuk badan induk tempatan itu meneruskan saingan liga semata-mata manakala dua lagi kejohanan lain seperti Piala FA dan Piala Malaysia dibatalkan musim ini.

Bagaimanapun, FAM masih belum ada sebarang kata putus di sebalik liga Thailand secara rasmi sudah pun membatalkan saingan musim 2020 hari ini.



"Kami boleh berbincang dengan FAM untuk mengambil wakil daripada liga bagi bermain dalam AFC.

"Kami tiada masalah.

"Ini disebabkan keadaan ketika ini adalah luar biasa," katanya ketika dihubungi wartawan Nadi Arena, Norsyarafina Nasrom.

FAM pula ketika ini hanya mengambil pendekatan menunggu keputusan penganjur, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), bagi mencari jalan penyelesaian untuk penentuan slot Piala AFC dan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

"Keputusan perbincangan di antara FAM dan MFL akan dibuat secara bersama.

"Kami pun tidak tahu mereka mahu melangsungkan Piala FA atau pun Piala Malaysia.

"Hanyalah selepas MFL menetapkan (perjalanan) kalendar, barulah kami boleh menentukan slot Piala AFC tahun depan," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.