Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Seri Afandi Hamzah, menegaskan mereka tidak bersandiwara mahupun membuat gimik berhubung isu menarik diri daripada Liga Malaysia (Liga M) 2017.

Kelantan muncul pasukan pertama mahu menarik diri sebelum diikuti Perlis dan Selangor.

Mengambil langkah itu kerana krisis kewangan, The Red Warriors (TRW) juga sedia melepaskan pemainnya.

Namun, tindakan gergasi Pantai Timur itu dikecam peminat tanah air yang mendakwa ia hanyalah sandiwara daripada KAFA.

Afandi ketika diminta mengulas mengenai dakwaan itu, memberikan reaksi berikut: "Kita kena akui di mana setiap pasukan yang menyertai liga perlu mempunyai kewangan yang mencukupi.

"Keadaan itu mungkin menjejaskan penyertaan mana-mana pasukan.

"Dari segi andaian, kita tak boleh lari dan itu terserah kepada tafsiran semua pihak.

"Tapi realiti sebenar, itulah yang kami hadapi," katanya.

Afandi menjelaskan keputusan muktamad berhubung perkara berkenaan akan diputuskan sehari sebelum tarikh akhir penyertaan yang diberikan Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), 30 Disember ini.

"Kebetulan kami difahamkan, Kongres Khas KAFA akan diadakan pada 29 Disember nanti.

"Insya-Allah daripada kongres itu nanti sudah tentu akan ada kata putus mengenai perkara ini. Kerajaan negeri juga telah sudi berjumpa dengan pihak KAFA.

"Itulah usaha-usaha dan perkembangan terkini yang dapat dilihat."