Datuk Adly Shah Ahmad Tah dilantik semula sebagai pengurus pasukan Liga Super Perak bagi menghadapi musim 2019.

Pelantikan semula Adly Shah dibuat oleh Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, ketika kongres luar biasa (EGM) persatuan itu, semalam.

"Saya ingin mengumumkan pelantikan semula Datuk Adly Shah sebagai pengurus pasukan.

"Saya menaruh keyakinan tinggi dia berupaya melaksanakan tugasnya dengan baik," kata Faizal kepada pemberita.

Sementara itu, Adly yang meletakkan jawatan sebagai timbalan presiden PAFA dan pengurus pada 8 November lalu terharu dengan pelantikannya itu.

"Saya berterima kasih kepada presiden baru PAFA kerana menaruh kepercayaan kepada saya.

"Insya Allah saya akan cuba lakukan yang terbaik bagi mewujudkan pasukan mantap dan terbaik."

Adly berkata Perak mengekalkan sebahagian besar pemain skuad juara Piala Malaysia musim ini.

"Tiada pemain utama yang akan meninggalkan Perak. Itu jaminan pemain kepada saya setakat ini," tambahnya.