Kedah mendominasi sembilan daripada 22 kategori Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2017 anjuran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menyaksikan permata Lang Merah, Baddrol Bakhtiar, dijulang sebagai Pemain Paling Bernilai dalam majlis yang berlangsung di ibu kota, sebentar tadi.

Baddrol yang memainkan peranan penting untuk Kedah mengharungi musim lalu dengan menjuarai Piala Sumbangsih dan Piala FA, termasuk muncul finalis Piala Malaysia, mengetepikan cabaran generasi baru apabila turut diangkat selaku Pemain Tengah Terbaik dan Penjaring Terbanyak Liga Super bagi kategori pemain tempatan.

"Sebelum ini, saya hanya mendapat pencalonan pada setiap tahun dan nampaknya pada malam ini, rezeki saya lebih lagi.

"Pencapaian malam ini adalah hasil daripada sokongan peminat yang sedikit-sebanyak menaikkan nama pemain.

"Saya sudah lama mengidam anugerah ini dan sememangnya tidak menjangka akan menang.

"Saya harap pada tahun depan, kami memenangi Liga Super dan layak ke Piala AFC, yang sebenarnya menjadi sasaran kami musim ini," kata Baddrol.

Dua daripada anugerah itu, Pemain Paling Popular kekal milik Liridon Krasniqi dari pasukan Kedah -- yang disampaikan oleh Datuk Lee Chong Wei -- dan dan Penjaring Terbanyak Liga Perdana diraih penggempur Kuantan FA, Abd Malik Mat Ariff.

Shahrel Fikri Fauzi diangkat selaku penggempur terbaik selepas cemerlang membantu PKNP FC dengan koleksi 11 gol dalam Liga Perdana termasuk layak ke saingan Piala Malaysia meskipun daripada segi rekod jaringan, Abd Malik lebih menyerlah dengan 15 gol.

Keputusan penuh:

Pemain Paling Bernilai: Baddrol Bakhtiar (Kedah)

Penjaga Gol Terbaik: Ifwat Akmal Che Kassim (Kedah)
Pertahanan Terbaik: Matthew Davies (Pahang)
Pemain Tengah Terbaik: Baddrol Bakhtiar (Kedah)
Penyerang Terbaik: Shahrel Fikri Fauzi (PKNP FC)
Jurulatih Terbaik: B. Sathianathan (Felda United)

Pemain Import Terbaik: Liridon Krasniqi (Kedah)
Pemain Muda Harapan: Adam Nor Azlin (Selangor)
Pemain Wanita Terbaik: Siti Rohani Saptu (Sarawak)
Penyokong Terbaik: Kedah
Pasukan Terbaik: Kedah

Penjaring Import Terbanyak Liga Super: Mohamed Ghaddar (Johor Darul Ta'zim)
Penjaring Import Terbanyak Liga Perdana: Guillherme de Paula (Kuala Lumpur)
Penjaring Tempatan Terbanyak Liga Perdana: Abd Malik Mat Ariff (Kuantan FA)
Penjaring Tempatan Terbanyak Liga Super: Baddrol Bakhtiar (Kedah)

Pemain Paling Popular: Liridon Krasniqi (Kedah)

Anugerah RTM Pemain Paling Mesra: N. Thanabalan (Felcra FC)

Anugerah Fair Play: T-Team FC

Anugerah Komuniti: Sunny Shalesh (jurulatih bola sepak cacat penglihatan)

Anugerah Laman Sesawang Terbaik: Selangor

Anugerah Media Sosial Terbaik: Kedah

Anugerah Selamat Datang: UKM FC dan Felcra FC