10 pemain tempatan sertai TFC

Oleh Tengku Danish Bahri 22 November 2018 834
10 pemain tempatan sertai TFC
Persiapan Terengganu FC (TFC) menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim 2019 semakin rancak dengan mengesahkan kemasukan 10 pemain tempatan, hari ini.

Antara muka baru ialah dua tonggak Felda United, Ahmad Syamim Yahaya dan Muhamad Khairu Azrin Khazali serta tiga pemain Negeri Sembilan, Muhamad Ilham Amirullah, Mohd Khairul Izuan Rosli dan Khairul Anwar Shahruddin.

Mohd Haidhir Suhaini, Muhammad Mohd Fauzi dan Muhamad Shahrin Sapien yang dipilih daripada Terengganu FC II (TFC II) turut memperkuatkan skuad Sang Penyu selain penjaga gol TFC III, Mohamad Shafawi Mohamad serta Muhammad Azalinullah Alias (PJ Rangers).

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim, persiapan awal itu mampu memberikan impak positif kepada pengendali pasukan, Irfan Bakti Abu Salim, dalam merencanakan strategi terbaik.

Cabaran yang menanti TFC musim depan dijangka lebih mencabar dengan prestasi 2018 yang memberangsangkan selaku naib juara Piala Malaysia.

"Kami mahu memastikan TFC melayakkan diri ke Piala AFC ataupun Liga Juara Juara Asia (ACL) selain membawa pulang trofi ke bumi Terengganu.

"Irfan juga diberi kebebasan untuk mempersiapkan pasukan, termasuk mengadakan siri perlawanan pra-musim sama ada di dalam atau di luar negara," katanya.

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen