Ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, menyifatkan kejayaan membelasah UKM FC 5-1 sebagai wira sebenar.

Dia cukup bangga dengan prestasi barisan The Red Warriors petang tadi sekali gus meraih mata penuh dalam kempen Liga Perdana yang tertangguh sejak Mac lalu.

Selepas lima bulan Liga Malaysia (Liga-M) ditunda ekoran penularan wabak COVID-19, wakil Pantai Timur itu berdepan UKM di Stadium Majlis Perbandaran Selayang petang tadi dalam perlawanan kedua yang tertangguh atas faktor cuaca, Mac lalu.

Yusri mengibaratkan prestasi anak buahnya beraksi di atas padang selama 90 minit itu umpama mereka meraih gaji setiap bulan.

Biarpun, menghadapi kesukaran dengan beberapa pemain tarik diri dari pasukan selain pemain utama yang tercedera, Yusri menganggap kemenangan ini terhasil semuanya berpunca daripada keikhlasan pemainnya berjuang.

"Susah saya nak gambarkan di kala pasukan kami bermasalah tetapi tengok kepada kesungguhan pemain, saya agak terharu.

"Sesungguhnya Allah menyebelahi kami kerana kejujuran dan keikhlasan pemain saya.

"Kami bermula lambat dalam segala (aspek) persiapan.

"Saya sekali lagi berterima kasih kepada pemain kerana berjuang menaikkan nama negeri mereka tanpa memiliki apa-apa imbuhan.

"Saya tidak ingin ulas lanjut, apa yang boleh saya simpulkan, 'pemain saya adalah wira sebenar' walaupun kami masih jauh dalam pungutan mata dan percubaan kami untuk masuk ke Piala Malaysia," katanya.

Tambahnya lagi: "Hari ini adalah permulaan buat pemain untuk memahami erti perjuangan yang sebenar. Pemain melakukan sebaik mungkin dari awal hingga tamat permainan.

"Pemain saya hadir di sini langsung tidak menunjukkan mengenai masalah yang semua orang mengetahuinya dan mencurahkan segala-galanya di atas padang, ia menyebabkan saya berasa tidak perkataan yang selayaknya untuk mereka selain terima kasih."

Dalam pada itu, Yusri menuntut Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) agar melangsaikan tunggakan gaji pemain terlebih dahulu sebelum berhasrat menjual bintang muda, Nik Akif Syahiran Nik Mat.

"Kalau nak jual pemain, (majikan) perlu habiskan pembayaran gaji (tertunggak).

"Ada hutang tapi (nak mengharapkan) pemain boleh pergi dengan percuma (tanpa dibayar), maaf.

"Ini adalah hakikatnya, habiskan hutang barulah boleh bersandar kepada penjualan pemain.

"Mana mungkin sebagai jurulatih, saya mahu melepaskan pemain seperti Nik Akif dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria yang merupakan pemain yang saya harapkan untuk membawa cabaran kami."

Buat pengendali UKM, Sulaiman Hussin, pula menganggap dominasi tengah pelawat melalui kerjasama antara Nik Akif Syahiran dan Wan Zaharulnizam memberi kesukaran kepada pasukannya.

Sulaiman turut mengakui persiapan skuad bimbingannya itu terganggu selepas beberapa pemain utama dilanda masalah kecederaan.

"Kesungguhan Kelantan petang ini mengatasi pemain saya yang membuat kesilapan mudah.

"Bahagian tengah milik Kelantan, ia punca utama kelebihan buat Kelantan.

"Ini perlawanan bonus buat kami, saya sudah berpesan kepada pemain agar memungut mata tetapi sesudah berusaha dengan baik tetapi gagal, saya tidak boleh tangisi kekalahan hari ini.

"Apa yang boleh saya lakukan, bedah siasat kerana kami akan menghadapi tujuh perlawanan lagi," katanya.