Ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, melahirkan kekecewaan setelah kunjungan "The Red Warriors" ke Stadium Selayang menentang UKM FC berakhir hampa apabila perlawanan itu akhirnya ditunda gara-gara cuaca yang tidak mengizinkan.

Kelantan turun untuk mengutip mata penuh setelah aksi pertama mereka menentang Kuala Lumpur di Kota Bharu minggu lalu berakhir seri.

Baru lima minit perlawanan berlangsung, perlawanan terpaksa dihentikan pengadil perlawanan, Abang Azharuddin Abdullah, setelah keadaan cuaca ekoran hujan lebat disertai petir dan kilat.

"Kelantan tidak mempunyai dana besar atas penundaan perlawanan ini.

"Saya harap FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) dapat mencari jalan penyelesaian (yang lebih baik) supaya tiada penangguhan sebegini yang memerlukan pasukan seperti Kelantan ini mengeluarkan dana besar," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Adam Zamri, semalam.

Perlawanan itu tertunda selama sejam sebelum pihak pengadil merujuk kepada badan pentadbir liga berkenaan memutuskan perlawanan tersebut ditunda kepada satu tarikh yang bakal diumumkan kelak.

Ia situasi yang tidak dapat dielakkan, namun Yusri berpendapat jika pihak tuan rumah, UKM FC, mampu menyediakan stadium dengan kuasa lampu limpah yang kuat maka dia tidak kisah jika ia dimulakan lewat pada sebelah malam.

"Saya dimaklumkan oleh pihak MFL bahawa 18 pemain perlawanan ini akan dikekalkan kecuali faktor kecederaan.

"Jadi saya menyambut baik keputusan daripada MFL."