Ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, masih belum memilih barisan pemain import yang bakal bersama The Red Warriors walaupun hanya berbaki kurang dua minggu ke perlawanan pertama Liga Perdana 2020.

The Red Warriors bakal membuka tirai perlawanan menentang Kuala Lumpur hujung bulan ini di Stadium Sultan Mohammad ke-IV.

Sebagai persiapan pramusim mereka, skuad kendalian Yusri telah menjalani dua perlawanan persahabatan menentang PDRM dan PJ City.

Walaupun mempunyai gambaran kesebelasan utama bagi pemain tempatan, Yusri masih dibelenggu kemelut mengenai taraf pemain import.

"Saya sudah mendapat bayangan dalam kesebelasan utama pasukan namun terdapat beberapa pemain yang hadir dalam perlawanan ini telah merencatkan sedikit persiapan kami," kata Yusri menerusi Nadi Arena.

"Bagaimanapun, pemain-pemain yang haruslah melakukan yang terbaik kerana komitmen penyokong sebagai pemain ke-12 sentiasa menghadirkan semangat dalam setiap perlawanan kepada pasukan."

Tambah Yusri, walaupun The Red Warriors mengalami beberapa kemelut tunggakan gaji, beliau tetap optimis untuk merealisasikan impian penyokong iaitu melihat kelantan kembali ke kancah Liga Super.

"Insha-Allah kami akan berusaha untuk menempatkan pasukan untuk melangkah kembali ke Liga Super," katanya lagi.