Sarawak United menafikan dakwaan tunggakan gaji empat bulan oleh pemain import, Sandro Da Silva, sebaliknya menegaskan pasukan Liga Perdana itu hanya berdepan kelewatan pembayaran gaji selama sebulan setengah.

Kecewa dan terkilan dengan tindakan tonggak dari Brazil itu, pengurusan tertinggi kelab Borneo berkenaan sedia meleraikan ikatan bersama bekas perancang tengah Selangor tersebut.

"Kenapa Sandro perlu (war-warkan) masalah gaji sedangkan hanya tertunggaknya sebulan setengah.

"Itu pun nak keluar di berita dunia, bukannya 2-3 bulan pun.

"Boleh pastikan dengan pemain-pemain lain, gaji yang tertunggak ialah sejak April lalu dan bulan ini.

"Yang saya kesalkan, apabila kelab lain tahu masalah ini, mereka mula menghasut pemain kami.

"Mereka sepatutnya cermin diri sendiri dulu, adakah OK atau tidak?" kata Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais.




Terdahulu, Sandro mendakwa tidak menerima gaji penuh sejak Januari lalu apabila hanya menerima 70 peratus gaji dua bulan pertama, iaitu pada Januari dan Februari sebelum langsung tidak dibayar apa-apa untuk bulan berikutnya.

Jika ia gagal diselesaikan, pihak Sandro dikatakan sedia mengheret kes itu ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk tindakan lanjut.

Posa turut membincangkan kedudukan pemain itu bersama skuad bimbingan E. Elavarasan berkenaan.

"Terserah kepada jurulatih kerana kalau ikutkan hati, saya memang tidak mahu tengok muka dia lagi.

"Kalau hendak kekal, dia perlu tunjukkan prestasi baik.

"Kalau betul kelab luar nak ambilnya, saya bagi percuma sahaja cuma bayar gaji sebulannya yang tertunggak.

"Soal yuran perpindahan saya sedekahkan sahaja."