Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) tampak sudah mengibarkan bendera putih untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji bekas pemain import.

Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman, seolah-olah mengakui kepada wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, bahawa mereka sudah bersedia menerima semua hukuman termasuk disingkirkan ke Liga M3 musim depan.

"Kami tidak bernasib baik terkena kes ini disebabkan (program) pelesenan kebangsaan yang bermula 2019 dan 2020.

"Jadi untuk dapatkan lesen, kami perlu selesaikan hutang dan kami yang terpaksa menanggung kesemuanya.

"Kami boleh mohon lesen tetapi ia (sudah tentu) tidak akan diluluskan.

"Nampaknya tahun depan kami perlu beraksi dalam saingan amatur, Liga M3," jelasnya hari ini.

Bagi mengelak perkara itu berlaku, badan induk berkenaan perlu mendapatkan persetujuan bersama pemain-pemain yang berkaitan bagi menyelesaikan kemelut tersebut.

Ia membabitkan kaedah pembayaran yang perlu dipersetujui kedua-dua pihak, sama ada menerusi ansuran atau pembayaran penuh.

Ketika ini, KAFA bukan sahaja berdepan tuntutan kes Cassio de Jesus dan Bruno Lopes, malah lima kes lain yang sudah berada dalam penelitian Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Dengan masa kian suntuk untuk menyelesaikan hutang yang dikatakan mencecah RM2 juta, ia tampak mustahil buat juara treble 2012 itu untuk mendapatkan lesen kebangsaan Ogos depan.

"Perancangan kami sudah 'cantik' walaupun kami sedar mempunyai hutang.

"Kami memang ada pelan perniagaan dan untuk menyelesaikannya secara beransur-ansur.

"Tetapi isu ini membuatkan ia terbantut, apatah lagi penaja lari berikutan wabak COVID-19, sebab itu saya katakan nasib kami tidak baik."