Walaupun saingan Liga Perdana musim ini masih berjalan, skuad Sang Badak sudah mula membuat persiapan awal dalam membentuk pasukan bagi menghadapi musim depan.

Jurulatihya, Jelius Ating, berkata selain daripada melakukan persiapan bagi menghadapi baki saingan liga, dia juga telah memanggil beberapa pemain daripada skuad Piala Belia, Piala Presiden serta pemain dari pasukan yang sebelum ini beraksi Liga FAM untuk berlatih bersama skuad senior Sabah.

"Antara tujuan kami memanggil pemain berkenaan adalah bagi membentuk serta memberi pendedahan awal kepada mereka bagi menyesuaikan diri berlatih bersama skuad senior.

"Di samping itu, kita juga mahu mereka memperbaiki teknik masing-masing dan sekiranya kita rasa sesuai, mereka boleh diserapkan ke dalam skuad utama pada musim depan, " katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.

Jelius berkata, sekarang adalah masa yang sesuai baginya membuat penilaian awal serta membentuk pasukan kerana pasukan yang popular dengan jolokan Sabah Rhinos itu telah pun terselamat dari zon penyingkiran.

"Kami perlu buat perancangan dan persiapan lebih awal kerana kami tidak mahu persiapan dilakukan pada saat akhir seperti mana yang berlaku pada beberapa musim lalu.

"Ini juga masa yang sesuai bagi kami (membentuk pasukan) kerana jarak masa perlawanan yang kami ada agak jauh dan kami mempunyai lebih masa iaitu selain membuat persiapan untuk aksi seterusnya. Kami juga melakukan persiapan untuk musim depan dan perlu manfaatkan masa yang kami ada sebaik mungkin," katanya.

Dalam perkembangan lain, jurulatih berusia 46 tahun itu berkata persiapan dan sesi latihan skuad kendaliannya itu setakat ini berjalan dengan lancar.

"Saya juga mengubah sedikit suasana latihan dengan membawa pasukan ke daerah Ranau untuk menjalani latihan khusus bagi memperbaiki kekuatan fizikal dan teknik para pemain.

"Selain menjalani latihan di sana (Ranau), kami juga meningkatkan lagi suasana berpasukan di kalangan pemain serta memberi peluang kepada mereka merasai suasana latihan yang berbeza di samping mengeratkan hubungan di kalangan mereka," katanya.

Tambah Jelius, pasukannya itu juga telah mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan pilihan Ranau pada Sabtu lalu dengan skuad Badak mencatat kemenangan besar 6-0.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.