PJBM hulur bantuan sediakan afidavit

Oleh Penulis Jemputan 15 Februari 2018 800
PJBM hulur bantuan sediakan afidavit
Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan, menegaskan pihaknya sedia memberi bantuan kepada bekas pengendali Kuantan FA, Zulhamizan Zakaria, untuk menangani masalah gajinya yang kini tertunggak selama 15 bulan.

Semalam, Nadi Arena melaporkan Zulhamizan telah membuat pendedahan terbaru mengenai isu tunggakan gaji Kuantan FA yang membabitkan dirinya dengan mendakwa tidak menerima bayaran sejak 15 bulan lalu.

Ia mendorongnya bersama bekas penolong jurulatih, Syukri Ismail, tampil membuat aduan rasmi kepada PJBM di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya.

Sathianathan menegaskan bahawa PJBM memandang serius perkara itu dan bersedia untuk membawa kes berkenaan kepada Jawatankuasa Status FAM.

"Dengan surat yang dikemukakan, kami boleh membantunya untuk menyiapkan afidavit untuk diserahkan kepada FAM. Kami mesti mengikut prosedur yang telah ditetapkan, bukan hanya melibatkan surat tetapi dia perlu mengemukakan afidavit untuk menuntut gaji daripada pasukan kelab," kata Sathianathan.

Berdasarkan laporan sebelum ini, Kuantan FA adalah antara pasukan yang masih mempunyai enam kes yang dibawa kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan 21 kes kepada FAM.

Bagaimanapun, skuad The Seagulls itu tetap kekal berada dalam saingan Liga Perdana, musim ini.

"15 bulan pastinya satu tempoh yang lama dan jika berdasarkan undang-undang, seseorang jurulatih itu berhak menuntut gajinya seandainya tidak menerima gaji selama sebulan. Tempoh 15 bulan adalah satu perkara yang sangat serius," kata Sathianathan lagi.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen