Tiada siapa menyangka Kelantan United mampu buat kejutan di Paroi apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menang 3-2 berdepan dengan pendahulu Liga Perdana, Negeri Sembilan.

Apatah lagi tiga perlawanan sebelum ini mereka kemarau jaringan, tetapi semalam mereka tampil dengan semangat yang cukup berbeza -- tiga gol berjaya diledak, dua daripadanya adalah hasil tandukan Alfusainey Gassama dan satu rembatan deras yang membias daripada Hariz Kamaruddin cukup untuk skuad Pantai Timur itu membawa pulang tiga mata.

Titik perubahan perlawanan buat Negeri Sembilan sudah pasti hadir selepas Ridzwan Selamat dilayangkan kad merah dalam babak pertama.

Mana tidaknya, mula perlawanan mereka menekan dan menghasilkan gol seawal 36 saat hasil tandukan Zaquan Adha dan seterusnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi Alain Akono, tetapi hujung perlawanan mereka terus tertekan.



"Kami bermain dengan baik dari awal permainan, namun dalam situasi ini, pengalaman amat diperlukan bagi menangani situasi dalam perlawanan ini, Negeri Sembilan masih memerlukan pengalaman," kata jurulatih Negeri Sembilan, K. Devan.

"Kami tidak begitu sempurna, ada waktu kami menang dan ada waktu kami tewas. Tetapi kami berjaya merakamkan kemenangan dan ia merupakan persembahan yang penuh semangat dipamerkan setiap pemain sepanjang 90 minit," kata pengendali Kelantan United, Akira Higashiyama.