Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) terus dihantui isu tuntutan gaji yang tertangguh sejak beberapa musim lalu.

Kini, belum reda isu gaji mengenai bekas pemain import, Cassio Francisco De Jesus, KAFA diuji pula dengan tuntutan gaji Bruno Lopez berjumlah lebih RM141,000.

KAFA memiliki tempoh 45 hari untuk menyelesaikan tunggakan gaji bekas import, Lopes, yang mengerah kudrat bersama The Red Warriors pada tahun 2008.

Difahamkan, persatuan itu bukan sahaja berdepan tuntutan dua kes tersebut di Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tetapi memiliki jumlah keseluruhan tujuh kes berjumlah hampir RM2 juta.

"Ogos adalah tarikh akhir penyerahan semua dokumen untuk lesen tahun depan. Jadi, untuk KAFA, mereka perlu selesaikan semua tunggakan sebelum tempoh itu. Perkara ini perlu diselesaikan sebelum jawatankuasa First Instance Body (FIB) membuat keputusan," kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam.