Ismail boleh tuntut menerusi PJBM

Oleh Penulis Jemputan 17 April 2018 1427
Ismail boleh tuntut menerusi PJBM
Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan, menyarankan pengendali Kuantan FA, Ismail Zakaria, dan tenaga kejurulatihannya menuntut bayaran gaji tertunggak mereka menerusi persatuan itu.

Bagi Sathianathan, seseorang jurulatih boleh memilih sama ada menuntut gaji tertunggak menerusi mahkamah industri atau mengikut saluran PJBM.

Beliau sendiri pernah melalui situasi sama ketika bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 2015.

"Melalui FAM atau persatuan, kalau kita buat afidavit seperti kes Yusri Che Lah, E. Elavarasan, banyak kes dapat diselesaikan, cuma kelab tidak akan bayar. 

"Jadi, FAM boleh ambil tindakan seperti memotong geran tahunan," kata Sathianathan. 

Isu gaji tertunggak Kuantan FA memasuki episod baru apabila pemain dan tenaga kejurulatihan pasukan itu tidak hadir dalam aksi Liga Perdana berdepan PDRM di Stadium Shah Alam pada 15 April lalu.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberi kemenangan 3-0 buat PDRM dan turut membatalkan penyertaan Kuantan FA pada musim ini.

Sebelum ini, Ismail menerusi satu sidang media mengesahkan mereka akan terus beraksi selepas menerima tajaan baru tetapi penaja tersebut juga menarik diri pada saat-saat akhir.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) Rezal Zambery Yahya, memberi jaminan persatuan itu akan turut memastikan kebajikan pemain Kuantan FA terbela dan kini di peringkat akhir untuk membawa tuntutan mereka ke Jawatankuasa Status, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Sebenarnya, dokumen tuntutan gaji selama tiga bulan kepada FAM telah disiapkan. 

"Oleh kerana mereka baru sahaja menerima gaji yang dibayar oleh MFL, jadi kami perlu tahu berapakah jumlah wang yang telah dibayar dan bakinya," ujar Rezal.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen