Pulau Pinang antara pasukan terbaru yang kembali ke padang latihan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika ini.

Skuad bimbingan Manzoor Azwira itu jelas tidak sabar untuk kembali beraksi dalam Liga Perdana, yang dijangka bersambung seawal Ogos depan.

Dalam satu temubual bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, kapten skuad Harimau Kumbang itu, Azmi Muslim, berkata: "Sejak dari awal lagi jurulatih sudah merancang untuk mengadakan ujian kecergasan supaya kami dapat mengetahui tahap kecergasan setiap pemain.

"Apabila ia sudah diketahui, mudah untuk dia merancang persiapan dalam tempoh sebulan setengah ini.

"Jika saingan ini (Liga Perdana) bersambung semula, saya fikir tempoh sebulan setengah itu sudah cukup untuk mengembalikan kecergasan, tahap keyakinan dan persefahaman sepasukan," katanya.

Mengulas mengenai misi pasukannya untuk melayakkan diri ke Liga Super musim depan, Azmi menambah: "Insya-Allah, jurulatih sudah pasti mempunyai perancangan tersendiri dan sebagai pemain, kami perlu mengekalkan momentum kerana kami mempunyai sasaran.

"Insya-Allah, saya dan pemain lain dapat mengekalkan momentum itu," katanya lagi.