UKM 1 PULAU PINANG 2

Endrick dos Santos menjadi penyelamat untuk Pulau Pinang mencerahkan peluang dimahkotakan sebagai juara Liga Perdana 2020 dan mengekalkan rekod kemenangan bersih.


Anak buah Manzoor Azwira itu meraih tiga mata ketika menang tipis 2-1 ketika bertandang ke UKM FC, petang tadi.

UKM mencemaskan peneraju Liga Perdana itu apabila mencetak gol pendahuluan menerusi Akanni Sunday Wasiu pada minit ke-17.

Pulau Pinang cuba mengikat kedudukan melalui penyerang veteran, Bobby Gonzales, sebelum tamat separuh masa pertama tetapi gol itu dikesan ofsaid.

Asakan Harimau Kumbang membuahkan hasil apabila Casagrande menyamai kedudukan sejurus empat minit babak kedua bersambung.

Mereka terus membuktikan dominasi mereka dengan jaringan kemenangan pada minit ke-67 melalui sepakan penalti daripada Edrick untuk pemain tengah itu merekodkan jaringan kelima dalam dua perlawanan.

Duka UKM -- yang satu mata di ambang zon penyingkiran -- bertambah apabila pemain, Saiful Hasnol, dilayangkan kad merah pada masa kecederaan.

Posted by FA Penang on Saturday, September 26, 2020
"Casagrande sebenarnya menanggung kecederaan dan kami mahu menyimpannya untuk perlawanan akan datang.

"Tetapi kami memerlukan tambahan penyerang untuk (menggempur) bersama-sama Bobby Gonzalez dan dia membalas kepercayaan itu.

"Saya sangat bangga dengannya di sebalik masalah yang menghantuinya," kata Manzoor yang enggan mengulas panjang prestasi pengadil.