Zulhamizan Zakaria memasang impian besar apabila mahu membawa PDRM layak ke kancah Liga Super selepas bekas jurulatih Kuantan FA itu mengesahkan menyertai skuad The Cops bagi menghadapi Liga Perdana musim depan.

Selepas tiga tahun membimbing Kuantan FA, Zulhamizan membawa haluan baru musim depan dengan menyertai PDRM.

Bekas pemain kebangsaan dan Pahang itu mengakui berdepan cabaran getir untuk mengembalikan semula kegemilangan The Cops.

Untuk rekod, skuad PDRM pernah muncul juara Liga Perdana ketika di bawah bimbingan Dollah Salleh pada 2014.

"Sudah semestinya saya meletakkan penanda aras untuk bermain dalam Liga Super, muncul empat pasukan terbaik dalam Piala FA dan beraksi dalam Piala Malaysia. Itu keutamaan saya.

"Setelah saya mengadakan sesi latihan pagi dan petang selama empat hari ini bersama pasukan, saya nampak pemain baru dan lama memberikan kerjasama yang baik," ujarnya.

Zulhamizan ternyata serius untuk melunaskan misi itu apabila sudah memulakan latihan bersama PDRM sejak beberapa hari lalu.

Tumpuan kini adalah mengenal pasti barisan pemain lama untuk dikekalkan selain menguji beberapa muka baru untuk dibawa menyertai pasukan itu musim depan.

Mengulas mengenai status pemain import, ini pengesahan Zulhamizan:

"Saya sudah maklumkan kepada pihak pengurusan, kami akan menilai dua pemain tengah import dan soerang penyerang lagi," katanya.