Jurulatih skuad PDRM, Zulhamizan Zakaria, menegaskan tiada istilah aksi pemanas badan buat pasukannya walaupun akan bertemu Pulau Pinang dua kali dalam tempoh seminggu bermula dengan pertemuan Liga Perdana di Stadium Shah Alam, esok.

PDRM gagal memulakan saingan musim 2018 dengan langkah kanan apabila sekadar mengutip satu mata daripada tiga perlawanan, menyaksikan dua aksi terakhir berakhir dengan kekalahan.

Menjelang aksi bertemu Pulau Pinang di Shah Alam, Zulhamizan tidak mahu pemain-pemainnya beraksi sambil lewa walaupun mereka bakal menentang lawan sama dalam saingan Piala FA, minggu depan.

"Bagi saya, tiada istilah perlawanan pemanas badan kerana kemenangan menjadi sasaran utama pasukan bagi mengembalikan keyakinan pasukan dan meneruskan perjuangan kami.

"Ia juga penting dalam merealisasikan impian pihak pengurusan," kata Zulhamizan.

Dalam masa sama, skuad PDRM turut berdepan tekanan lain apabila bakal menghadapi hukuman pemotongan mata susulan kegagalan untuk menghantar dokumen yang lengkap kepada Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP).

Bagaimanapun, Zulhamizan yakin isu itu tidak menggugat semangat anak-anak buahnya selepas diberikan penjelasan oleh pihak pengurusan.

"Sebenarnya, perkara itu tidak memberikan kesan kepada pemain kerana pengurusan pasukan telah memberitahu bahawa mereka telah menyelesaikan segala urusan dokumen dan akan menghantarnya secepat mungkin kepada pihak FMLLP."