Ketua jurulatih Kelantan United FC (KUFC), Zahasmi Ismail, senada dengan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan, yang mahukan Liga Malaysia (Liga-M) diteruskan selepas wabak Covid-19 berjaya ditangani sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia.

"Saya harap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berbuat sesuatu demi menyelamatkan Liga-M yang sedang ditangguhkan ini.

"Saya juga melihat cadangan bermain tanpa penyokong sebagai pilihan terbaik untuk teruskan kelangsungan liga," ujarnya.

Zahasmi, yang baru menyambut ulangtahun kelahirannya yang ke-53 kelmarin, terus mengingatkan pemainnya supaya melakukan latihan di rumah masing-masing demi mengekalkan tahap kecergasan.

"Alhamdulillah, lebih sebulan pemain melakukan latihan yang dirangka oleh barisan kejurulatihan KUFC.

"Mereka akan melakukan rutin yang disediakan, kemudian merekodkan aktiviti itu dan menghantar kepada saya sebagai bukti," ujarnya lagi.

Ditanya status terbaru isu pemotongan gaji pegawai dan pemain KUFC akibat wabak Covid-19, Zahasmi berkata pihaknya faham dengan keadaan yang berlaku dan sedia memberikan kerjasama yang terbaik demi kebaikan kedua-dua belah pihak.

"Setakat ini, kami belum lagi dihubungi oleh pihak pengurusan KUFC berkenaan isu tersebut.

"Insya-Allah, kita sama-sama berdoa supaya isu ini dapat diselesaikan segera," tambahnya.

Kredit Foto: KUFC