Ketua jurulatih Kelantan United FC (KUFC), Zahasmi Ismail, gembira dengan tahap disiplin pemainnya yang melakukan latihan di rumah sendiri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19.

"Alhamdulillah, pemain dapat ikuti segala program latihan yang dirangka oleh barisan kejurulatihan KUFC.

"Mereka (pemain) akan melakukan rutin yang disediakan, kemudian merekod aktiviti itu dan menghantar kepada saya sebagai bukti.

"Latihan di rumah cukup penting kerana sebagai pemain profesional mereka mesti menjaga kesihatan dan kecergasan kerana Liga Malaysia (Liga-M) baru sahaja bermula," katanya.

Zahasmi yang berjaya membawa KUFC merangkul kejuaraan Liga-M3, musim lepas, gembira dengan peningkatan aksi pemain dan kedudukan semasa skuad Kijang Hijau di tangga kedua carta liga di belakang Terengganu FC II.

"Sebagai pendatang baru liga, kami bermula agak baik dengan sembilan mata daripada empat perlawanan.

"Aksi terakhir sebelum liga ditangguhkan, kami berjaya menumbangkan Negeri Sembilan 3-0 di gelanggang sendiri.

"Bagaimanapun, kami akur dengan penangguhan liga demi mengekang penularan Covid-19 biarpun pemain sudah mula 'panas'," ujarnya.

Kredit Foto: KUFC