Zahasmi mahu pemain kawal emosi

Oleh Farizal Yusoff 3 Mac 2020 100
Zahasmi mahu pemain kawal emosi
Pengendali Kelantan United FC (KUFC), Zahasmi Ismail gembira dengan aksi pemainnya yang berjaya menumpaskan  Perak II 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung untuk membawa pulang tiga mata penuh.

Sebagai pendatang baru liga, ketua jurulatih itu menegaskan kemenangan itu pasti membangkitkan lebih motivasi kepada pemain Sang Kijang Hijau untuk mengharungi cabaran lebih sukar, selepas ini.

"Alhamdulillah, syukur kepada Allah atas nikmat kejayaan ini. Cukup puas hati dengan prestasi pemain biarpun kali pertama beraksi dalam saingan Liga Perdana," katanya.

"Tiga mata yang berjaya dikutip dari gelanggang lawan menjadi bonus terbaik kepada kami.

"Menentang Perak II bukan suatu yang mudah kerana mereka lebih berpengalaman (pernah beraksi dalam Liga Super) dan miliki pemain yang berkualiti."

Zahasmi yang berjaya membawa KUFC merangkul kejuaraan Liga M3 musim lalu mahu anak buahnya lebih fokus untuk berdepan Kuching FA di Kota Bharu, Jumaat ini.

"Harap kejayaan ke atas Perak II berterusan dan kita akan lebih bersedia untuk melayan kunjungan Kuching FA di gelanggang sendiri.

"Tiga mata penuh jadi fokus utama dan mahu pemain jaga emosi supaya tidak merugikan pasukan."

Sementara itu, dalam aksi menarik malam kelmarin, jaringan penyerang muda, Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi, pada minit ke-85 melalui sepakan percuma menewaskan penjaga gawang Perak II, Muhammad Syakir Danial Ma'amal Hairi, untuk membawa pulang tiga mata ke Kota Bharu.


Kredit Foto: KUFC

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen