Ketua jurulatih Kelantan United (KUFC), Zahasmi Ismail, mahu pemainnya bersikap profesional ketika menentang pasukan The Red Warriors (TRW) dalam saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV malam ini.

Katanya, biarpun aksi tersebut umpama pertarungan adik menentang abang, ada banyak elemen yang boleh mempengaruhi mental pemain sepanjang 90 minit di atas padang.

"Pemain perlu lebih profesional walaupun secara realitinya, mereka (pemain) akan ada perasaan segan, takut, risau dan sebagainya apabila bertemu sesama sendiri daripada negeri yang sama.

"Namun, satu perkara yang harus diingat, kita (pemain) perlu melaksanakan amanah yang diberikan oleh majikan di atas padang. Di luar, kawan tetap kawan," katanya.

Zahasmi, yang membawa KUFC merangkul kejuaraan Liga-M3 musim lalu yakin sikap pemain akan menjadi faktor penentu pasukan mana yang akan keluar sebagai pemenang.

"Dalam aksi sebegini, pasukan yang tenang dan kurang melakukan kesilapan mudah akan berjaya menyerap tekanan di depan ribuan penyokong.

"Saya sering ingatkan jentera serangan supaya jangan membazirkan peluang di depan gawang lawan. Jadikan kesilapan menentang Kuching FA, Jumaat lalu sebagai pengajaran berguna.

"Begitu juga di bahagian pertahanan supaya sentiasa tingkatkan komunikasi dan fokus dengan serangan balas lawan," ujarnya.

Untuk rekod, sebagai pendatang baharu Liga Perdana, KUFC memulakan saingan dengan bergaya apabila memenangi dua perlawanan berturut-turut, 2-1 ke atas Kuching FA dan 1-0 ke atas Perak II, untuk mengumpulkan enam mata maksimum.