Ketua jurulatih Kelantan United (KUFC), Zahasmi Ismail, memuji aksi pemainnya yang segera bangkit di gelanggang sendiri untuk menumbangkan Negeri Sembilan 3-0 dalam saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad Ke IV malam tadi.

"Alhamdulillah, kami dapat tiga mata malam ini (tadi) dan pemain cepat bangkit selepas kalah kepada Kelantan FA baru-baru ini.

"Pemain beraksi dengan baik namun perjalanan liga ini masih panjang. kami amat terasa dengan ketiadaan pemain ke-12 kerana penyokong memainkan peranan cukup penting dalam kebangkitan pasukan. Kami hadiahkan kemenangan ini kepada mereka (penyokong)," katanya.

Zahasmi, yang berjaya membawa KUFC merangkul kejuaraan Liga-M3 musim lalu, berpuas hati dengan sumbangan awang import, Gassama Alfusainey, untuk mengetuai jentera serangan skuad Sang Kijang Hijau apabula mengucar-ngacirkan benteng skuad kendalian Sazali Saidun itu.

"Biarpun dalam babak pertama Alfusainey banyak hilang bola, tapi saya hormati cara dia bekerja keras dalam membantu pasukan untuk mencipta kemenangan. Tahniah kepadanya dan semua pemain," tambahnya.

Untuk rekod, kemenangan 3-0 ke atas skuad Jang itu meletakkan KUFC di tangga kedua liga dengan sembilan mata hasil tiga kali kemenangan dan ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu, Terengganu FC II.