Ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, masih menunggu isyarat pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sebelum memanggil semua pemain skuad The Red Warriors (TRW) untuk kembali menjalani latihan.

Yusri berkata, ketika ini beliau masih berada di Perlis sambil memantau perkembangan terkini berkaitan urusan latihan pasukan yang sudah tertangguh hampir empat bulan akibat pandemik COVID-19.

"Alhamdulillah, banyak pasukan sudah diberi kebenaran oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menjalani latihan di atas padang dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Kami (Kelantan FA) juga tidak sabar untuk turun ke padang buat pertama kalinya selepas sekian lama menjalani latihan secara individu.

"Mungkin pihak pengurusan sedang menyelesaikan empat perkara utama yang digariskan MFL berkaitan SOP sebelum pasukan dibenarkan turun padang," ujarnya.

Yusri yang cuba membawa semula TRW ke saingan Liga Super, musim depan, gembira dengan komitmen semua anak buahnya yang giat menjalani latihan di rumah masing-masing.

"Semua pemain sudah tidak sabar untuk menjalani latihan di padang dan akan mematuhi segala SOP yang ditetapkan," katanya.