Ketua jurulatih The Red Warriors (TRW), Yusri Che Lah, tidak mahu terburu-buru mendapatkan awang import bagi memperkuatkan Kelantan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

"Biarpun Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) memberikan kebebasan untuk memilih sendiri pemain import yang dikehendaki, saya kena melihat pelbagai aspek.

"Paling utama, bolehkah pemain itu bermain dengan sistem permainan saya dan cepat menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan?

"Saya juga tidak akan melihat rekod pencapaian mereka dalam liga lain semata-mata tetapi gagal menyerlah bila bersama Kelantan, yang menyebabkan saya terpaksa menukar pemain import," katanya.

Yusri, yang juga bekas jurulatih Kuala Lumpur, berkata pemilihan empat pemain import itu bergantung kepada peruntukan majikannya.

"Sudah tentu, sebagai jurulatih, saya mahu mendapatkan pemain yang bagus, namun perlu juga melihat kewangan persatuan.

"Empat pemain import itu diperlukan bagi memperkuatkan posisi serangan, tengah dan pertahanan selain dibantu oleh pemain tempatan yang lain.

"Saya sudah ada beberapa calon, namun tidak boleh mendedahkannya kerana terikat dengan beberapa proses penilaian tertentu," ujarnya.