Pelbagai masalah yang melanda pasukan Kelantan ketika ini termasuk dalam aspek kewangan tidak mematahkan semangat Yusri Che Lah untuk terus membimbing pasukan Pantai Timur itu.

Pengendali pasukan itu berharap dapat mengubah persepsi negatif segelintir pihak terhadap pasukan Kelantan yang sebelum ini dilabel dengan pelbagai masalah sehingga menjejaskan moral pemain.

“Memang bukan senang untuk kita ubah persepsi itu dalam sekelip mata, tetapi sekarang tugas kita semua untuk cuba sedaya upaya menaikkan nama pasukan.

“Pemain yang ada ketika ini, saya percaya mereka tahu apa perlu dilakukan untuk memberi yang terbaik dan sekarang saya hanya pastikan mereka semua tidak lupa untuk sentiasa memanaskan badan di rumah,” jelas Yusri dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.

Bekas pengendali Kuala Lumpur itu pada masa sama, turut berharap agar penyokong setia skuad ‘The Red Warriors’ terus berada di belakang pasukan berkenaan.

“Memang, dalam situasi sekarang bukan Kelantan sahaja yang berdepan masalah, pasukan lain juga terkesan lebih-lebih lagi dengan wabak COVID-19, cuma masing-masing kena hadapi juga dan sekiranya kerajaan meluluskan saingan diteruskan, kami tetap akan melakukan yang terbaik untuk pasukan.

“Buat pengurusan, semoga semuanya akan kembali pulih dan Persatuan Bola Sepak Kelantan tidak berputus asa mencari jalan terbaik menyelesaikan apa pun kemelut yang berlaku demi pasukan Kelantan,” jelas Yusri yang merupakan bekas pemain kebangsaan.

MFL baru-baru ini memutuskan untuk meneruskan pertandingan Liga Super dan Liga Premier secara separuh liga bermula 1 hingga 27 Sept, diikuti kempen Piala Malaysia pada 17 Okt hingga 7 Nov, manakala saingan Piala FA dan Piala Cabaran dibatalkan.

-- BERNAMA