Yusri sahkan jumpa KAFA minggu ini

Oleh Farizal Yusoff 3 Disember 2018 1956
Yusri sahkan jumpa KAFA minggu ini
Ketua jurulatih, Yusri Che Lah, mengesahkan akan mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) bagi membincangkan hala tuju dan masa depannya sebagai pengendali The Red Warriors (TRW) dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), musim depan.

"Insya-Allah, saya akan mengadakan perjumpaan dengan presiden KAFA di Kota Bharu, minggu ini, bagi memuktamadkan urusan kontrak.

"Saya sedar banyak spekulasi yang berlaku selagi kontrak belum ditandatangani," katanya yang baru sahaja pulang daripada mengerjakan umrah, kelmarin.

Sebelum ini, Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, mengumumkan kelibat bekas pengendali Felcra FC berkenaan kekal berada dalam perancangan Kelantan untuk membimbing TRW dalam saingan Liga Perdana.

Bagaimanapun, KAFA membuat satu lagi kejutan apabila mengumumkan bekas pengendali Negeri Sembilan, Jorg Peter Steinebrunner, sebagai pengarah teknikal TRW.

Keputusan itu membuatkan penyokong setia TRW sedikit resah mengenangkan sejarah kontroversi yang berlaku di antara bekas pengendali, Zahasmi Ismail, dan Pengarah Teknikal, Alfredo Gonzales, sehingga mengakibatkan prestasi Kelantan merudum.
 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen