Ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, memilih untuk terus kekal bersama skuad Pantai Timur itu bagi musim 2019 dan menolak tawaran Kuala Lumpur ekoran situasi tidak menentu yang dihadapi Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).

Setelah memikirkannya secara mendalam, Yusri akhirnya membuat keputusan untuk terus mengemudi Kelantan walaupun beraksi dalam saingan Liga Perdana musim depan.

Biarpun mendapat tawaran lebih lumayan daripada Kuala Lumpur, Yusri enggan mengambil risiko ekoran penangguhan Kongres Ke-31 KLFA yang pasti menjejaskan perancangan pasukan.

Yusri mengucapkan terima kasih kepada Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan, kerana memberikan ruang kepadanya sebelum membuat keputusan.

"Selepas mengadakan perjumpaan dengan presiden KAFA, saya memuktamadkan keputusan untuk kekal.

"Saya juga ingin berterima kasih kepada KLFA kerana berminat mahukan khidmat saya.

"Keputusan ini dibuat berdasarkan keadaan semasa yang berlaku," kata Yusri.

Bagi persiapan pasukan, Yusri mendedahkan dia akan kehilangan tiga tonggak, iaitu Shafiq Shaharudin, Faridzuean Kamaruddin dan Haziq Puad tatkala Cassio De Jesus kekal dalam kalangan pemain import.

Namun, itu bukan satu kebimbangan buat Yusri kerana Kelantan masih mempunyai ramai pemain muda berbakat.

"Saya mengekalkan Cassio dan perlu mengisi tiga slot pemain import yang lain," tambah Yusri.

"Saya akan melakukan ujian pemilihan di Kota Bharu untuk mengelakkan kepincangan musim ini berulang.

"Saya juga berharap pemain yang akan hadir nanti dapat memberikan impak yang cukup kuat buat Kelantan."