"Ini musim terakhir saya bersama Kelantan," kata ketua jurulatih skuad The Red Warriors itu, Yusri Che Lah, yang tampak terluka dengan nasib yang menimpa pasukannya musim ini.

Kelantan dikenakan pemotongan tiga mata oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan kegagalan mereka melunaskan tunggakan gaji.

Pemain pasukan dari Pantai Timur itu dikhabarkan tidak menerima pembayaran gaji sejak Mac lalu.

Bagaimanapun, Yusri berjanji akan meninggalkan sesuatu yang indah menjelang hari perpisahannya.

Dalam satu temu bual bersama Nadi Arena hari ini, pengendali itu menjelaskan bahawa dia akan berusaha untuk mengekalkan pasukan itu dalam saingan Liga Perdana.

"Ia satu keadaan yang agak sukar kerana walaupun kami masih menduduki tangga kesepuluh dengan satu mata, saya melihat kepada perlawanan yang akan datang dan keadaan semasa.

"Keadaan ini akan menentukan sama ada kami mampu untuk meletakkan pasukan ini dalam kelompok 10 pasukan yang akan kekal (dalam Liga Perdana) bagi musim 2021.

"Tetapi saya masih realistik untuk mencuba menempatkan diri dalam kelompok itu supaya apabila saya meninggalkan pasukan ini pada penghujung Disember ini, Kelantan tidak terjerumus ke Liga-M3.

"Saya berharap usaha saya ini dapat diterjemahkan oleh pemain agar sesuatu yang indah dapat ditinggalkan dan nama kami tidak diburukkan secara berterusan," katanya.

Yusri menambah: "Saya sudah tiga musim bersama Kelantan dan saya boleh katakan mungkin musim ini adalah musim terakhir saya.

"Saya akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk meletakkan pasukan ini dalam kelompok 10 terbaik.

"Dalam masa sama, saya cuba juga untuk menempatkannya dalam Piala Malaysia kerana ini adalah masa terbaik untuk pemain menonjolkan kemampuan mereka dan saya juga mendapat kebaikan daripada apa yang telah kami capai," katanya.