Menjelang saingan Liga Perdana malam ini, sudah pasti pasukan Kelantan akan menjadi tumpuan selepas menerima suntikan baru menerusi dana bernilai RM6.8 juta namun Ketua Jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah tidak menyangka nasib pasukan itu dapat diselamatkan secepat ini.

Selepas sekian lama dihantui masalah tunggakan gaji, akhirnya skuad pantai timur itu sudah menerima bayaran sebulan gaji terdahulu dan selebihnya akan dilangsaikan dalam masa terdekat.

Tambah Yusri, aksi menentang Selangor II malam ini dan baki perlawanan adalah penting buat skuad The Red Warriors dalam langkah tidak mengsia-siakan peneraju baru mereka, Norizam Tukiman.

"Kami sangat bersyukur dengan usaha Norizam untuk membantu menyelesaikan isu tunggakan gaji yang dihadapi pasukan. Pasukan sendiri perlu mempamerkan keputusan yang positif kerana ia bakal dinilai bagi memastikan kelangsungan pasukan," kata Yusri.

Dalam saingan keenam ini, Yusri kehilangan tonggak pertahanannya, Masaki Watanabe dan pemain tengah, Khairul Asyraf, akibat pergantungan perlawanan.

"Benar, skuad Kelantan semakin kecil kerana ramai yang mengalami kecederaan namun ia bukan alasan buat kami. Kami berpandangan aksi sukar berdepan Selangor II kerana mereka rata-rata dibarisi pemain-pemain muda dan memiliki semangat untuk mencipta kemenangan."