Ketua jurulatih skuad The Red Warriors, Yusri Che Lah, menaruh harapan tinggi kepada pengurusan baru Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk mengekalkannya bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Harapan itu dinyatakannya selepas berjaya mengekalkan Kelantan untuk beraksi dalam Liga Perdana apabila menewaskan UKM FC 2-0 dalam perlawanan terakhir saingan berkenaan di Stadium Sultan Muhammad lV, semalam.

Yusri menjelaskan harapannya untuk kekal membimbing pasukan Kelantan kerana terhutang budi dengan pemain pasukan itu yang telah menunjukkan kesungguhan walaupun berdepan pelbagai masalah.

"Pemain yang meletakkan nama saya kembali ke pentas bola sepak negara setelah gagal ketika berada Kuala Lumpur sebagai jurulatih awal musim ini dan saya mengambil keputusan untuk kembali ke Kelantan kerana pemain.

"Seandainya diberi peluang, saya akan kekal dengan Kelantan kerana pasukan ini adalah jiwa saya," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Dalam aksi semalam, Kelantan meraih kemenangan hasil jaringan Nik Azli Nik Alias pada minit ke-58 dan Nik Akif Syahiran Nik Mat (m-90), sekali gus membawa The Red Warriors kekal bersaing dalam Liga Perdana musim 2020.

Yusri juga menjelaskan apa yang lebih menguatkan hasratnya untuk terus bersama Kelantan adalah kerana pasukan itu dibarisi 100 peratus pemain muda tempatan yang mempunyai kualiti untuk diketengahkan.

"Semua pemain adalah anak Kelantan, pasukan ini mempunyai jiwa dan kualiti untuk merangka kejayaan, namun perkara ini terpulang kepada pihak pengurusan untuk mencipta kejayaan masa depan pasukan ini.

"Berilah kepercayaan kepada pemain kerana pasukan ini sebenarnya mampu memberikan saingan, namun kekurangan tenaga import yang berkualiti, tidak seperti pasukan lain yang memilikinya," katanya.

Kredit foto: Kelantan FA Official

-- BERNAMA