Ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, gembira dengan persefahaman di antara pemain tempatan dan import dalam aksi persahabatan menentang Nara United FC di Stadium Sultan Muhammad IV,malam tadi.

“Terdapat perbezaan ketara dalam separuh masa pertama dan kedua. Dalam separuh masa pertama, kami terlalu banyak beri ruang kepada lawan sehingga sering hilang bola dan tertekan.

“Namun, dalam babak kedua, kami ubah corak permainan berpasukan dan ia membuahkan hasil. Corak permainan sebeginilah yang sepatutnya kami tonjolkan sejak awal perlawanan.

"Sebenarnya, saya bimbangkan keserasian di antara pemain import dan tempatan kerana ini kali pertama mereka digandingkan sebagai kesebelasan utama. Namun, selepas melihat persembahan mereka dalam separuh masa kedua, saya berasa gembira dan lega," katanya kepada media selepas perlawanan berakhir.

Yusri juga mengharapkan barisan awang import The Red Warriors (TRW) cepat menyesuaikan diri dengan taktikal yang diterapkannya di samping meningkatkan komunikasi dalam permainan.

“Saya tidak mahu menilai pemain import berdasarkan persembahan dalam separuh masa pertama kerana banyak juga kesilapan berpunca daripada kami sendiri.

"Saya harap dalam perlawanan akan datang, pemain import akan dapat lebih masa dan sentiasa mencari keserasian dengan pemain tempatan,” katanya.

Pengendali kelahiran Perlis itu juga merancang dua aksi persahabatan menentang Perlis United dan Perak II selepas ini bagi memantapkan persefahaman pemain sebelum bertolak ke Kuala Lumpur untuk menyertai jelajah Lembah Klang.

"Tarikh sebenar belum dapat disahkan lagi, cuma kami akan bermain di gelanggang sendiri. Saya letakkan sasaran untuk mencari keserasian dalam kalangan pemain," ujarnya.

Dalam aksi seimbang malam tadi, TRW ketinggalan pada minit ke-18 melalui rembatan penyerang Nara United, Khoiree Abdullah, yang menewaskan penjaga gol, Mohammad Fikri Che Soh.

Bagaimanapun, pemain tengah kebangsaan, Nik Akif Syahiran Nik Mat, menyelamatkan maruah tuan rumah apabila menjaringkan gol penyamaan hasil sepakan kencang untuk menewaskan Jaridet Surachai pada minit ke-83.

Kredit Foto: Kelantan FA




Editor: Shaiful Shamsudin