Yusri: Cuba dapatkan keputusan positif jumpa Perak II

Oleh Farizal Yusoff 8 Februari 2020 1762
Yusri: Cuba dapatkan keputusan positif jumpa Perak II
Pengendali Kelantan, Yusri Che Lah, mahu momentum kemenangan dalam aksi pramusim berterusan apabila turun menentang Perak II di Stadium Sultan Muhammad IV malam ini.

Keinginan itu jelas terpancar apabila Yusri mahu pemainnya mengekalkan taktikal yang digunakan ketika menewaskan skuad Liga M3, Perlis United, minggu lalu.

"Biarpun sekadar aksi persahabatan, saya mahu pemain fokus dan terus berikan aksi terbaik di atas padang.

"Saya juga mahu pemain terus adaptasi gaya permainan terdahulu ketika menumbangkan Perlis United sambil mengurangkan kesilapan yang dikenal pasti," katanya.

Jurulatih kelahiran Perlis itu juga tampak gembira dengan kejayaan penyerang importnya menghasilkan jaringan dan mahu mereka terus berusaha membentuk keserasian bersama pemain tempatan.

"Saya mahu melihat pergerakan pemain di setiap posisi untuk bertahan dan menyerang dalam satu unit pasukan.

“Mereka (pemain) perlu berganding bahu untuk mendapatkan keputusan positif walaupun ini sekadar perlawanan persahabatan,” ujarnya.

Ditanya kesebelasan utama yang bakal diturunkan, Yusri membayangkan tidak banyak rombakan yang bakal dilakukan tetapi bergantung kepada tahap kecergasan pemain.

“Rasanya tidak banyak perubahan dalam kesebelasan utama yang turun menentang Perlis United minggu lepas kerana saya mahu beri lebih keyakinan kepada pemain.

"Kami belum memuktamadkan kesebelasan utama, namun ia sudah hampir dengan apa yang saya inginkan,” tambahnya.

Kredit Foto: Kelantan FA




Editor: Nafis Abdullah

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen