Biarpun gembira dengan aksi anak buahnya menumbangkan Perlis United 3-0 malam tadi, pengendali The Red Warriors (TRW), Yusri Che Lah, mengakui masih banyak kerja rumah yang perlu dilakukan sebelum memilih kesebelasan utama Kelantan.

Bagaimanapun, tindakan Yusri mengeluarkan 10 pemain utama yang beraksi dalam babak pertama dianggap isyarat jelas bahawa dia sudah memiliki skuad bayangan yang akan dipertaruhkan menjelang sepak mula Liga Perdana akhir bulan ini.

"Saya belum lagi menoktahkan pemain di posisi-posisi tertentu, cuma inginkan mereka mendapat lebih minit permainan.

"Saya menggunakan pemain barisan pertama selama 60 minit dan selebihnya memasukkan barisan kedua lebih kurang 25 minit malam ini (tadi).

"Biarpun kami menang 3-0, beberapa kombinasi di bahagian hadapan kurang memuaskan saya," katanya kepada media selepas aksi di Kota Bharu itu.

Pengendali kelahiran Perlis itu juga kurang berpuas hati dengan gandingan penyerang import, Odili Felix Chidi dan Rhulani Manzini, namun masih memberi mereka peluang untuk membuktikan ketajaman di depan gawang lawan.

"Sebagai jurulatih pasukan, saya mahu mereka (Chidi dan Manzini) tunjukkan aksi lebih baik. Namun, saya harus adil dalam menilai mereka yang yang baru bersama pasukan selama 10 hari.

"Cuma apa yang saya nampak, peningkatan itu ada dan harus diperkemaskan bagi mempertajamkan lagi di bahagian hadapan (juga bahagian belakang) sambil buatkan pasukan berasa selamat," tambahnya.

Malam tadi, TRW kembali mencipta kemenangan dalam aksi persahabatan apabila tiga jaringan dalam separuh masa pertama melalui Felix (m-28), Nik Akif Syahiran Nik Mat (m-30) dan Manzini (min-40) sudah cukup untuk mengecewakan pasukan yang akan beraksi dalam Liga M3 musim ini, Perlis United.

Kredit Foto: Kelantan FA




Editor: Shaiful Shamsudin