Ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, mengakui gembira dengan semangat melawan pemainnya biarpun beraksi dengan serba kekurangan ketika mengikat skuad pilihan, Kuala Lumpur, 1-1 di Stadium Sultan Mohammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Yusri berkata biarpun keputusan seri itu mengecewakan penonton setia tuan rumah yang mengharapkan mata penuh berdasarkan peluang yang diperoleh, namun pemainnya sudah memberikan segalanya.

"Syukur kepada Allah, dalam serba kekurangan, kami berjaya sebenarnya. Biarpun kalau dilihat, kami kehilangan 'kekuatan' apabila Kang (Kang Seung Jo) mengalami kecederaan seawal minit kedua permainan lagi.



"Sebelum perlawanan pula, kami dikejutkan dengan berita penyerang, Mohd Hakimi (Abdullah) yang tidak boleh beraksi disebabkan pendaftaran namanya dalam Piala Presiden tidak sama dengan MFL (Liga Bolasepak Malaysia).

"Saya juga menerima dengan hati terbuka kehilangan Kechik (Wan Zaharulnizam Wan Zakaria) dan Awe (Azwan Arippin) akibat kecederaan.

"Saya akui dalam separuh masa pertama, kami tidak beraksi baik. Tapi, dalam babak kedua, banyak peluang yang kami dapat cuma gagal noktahkan sebagai jaringan sahaja.

"Sebagai Ketua jurulatih, saya tahu ramai peminat terkilan dengan keputusan itu (seri) kerana peluang yang terhidang. Namun, saya bangga dengan semua pemain dan harapkan prestasi yang sama dapat diteruskan dalam aksi yang akan datang," katanya kepada media.

Yusri juga menganggap kehadiran bekas penyerang Tok Gajah, Lazarus Kaimbi, tepat pada masanya dalam usaha menguatkan jentera TRW berdasarkan kualiti dan pengalaman yang dimiliki.

"Tiada sebarang keraguan mengenai keupayaannya. Biarpun baru tiga hari bersama pasukan tetapi pengalaman yang dimiliki bersama pasukan Pahang sebelum ini membuatkan dia cukup selesa untuk berada di atas padang.

"Cuma, sebagai manusia biasa, apa salahnya kami maafkan dia (gagal jaringkan gol dalam peluang terbuka). Jangan terus menghukum sebaliknya beri sokongan."

Dalam aksi menarik malam tadi, penyerang kelahiran Namibia itu meletakkan TRW di depan melalui sepakan penalti pada minit ke-47 sebelum penyerang antarabanga Togo, Kouassi Francis Kone, menyamakan kedudukan menerusi tandukan kencang menewaskan Faridzuean Kamaruddin pada minit-minit akhir perlawanan.