Ketua jurulatih The Red Warriors (TRW), Yusri Che Lah, menyifatkan sasaran Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang mahu kembali ke Liga Super musim depan sambil mendakap satu piala musim ini sebagai cabaran buatnya.

Malah, pengendali kelahiran Perlis itu tidak mahu indeks petunjuk prestasi (KPI) menjadi tekanan atau bebanan, sebaliknya mahukan sokongan menyeluruh untuk merealisasikan impian berkenaan.

"Sudah pasti ia satu cabaran kepada saya sebagai jurulatih profesional. Bagus untuk saya bekerja keras demi berusaha mencapai sasaran yang diletakkan oleh persatuan.

"Biarpun agak sukar tetapi saya percaya pemain yang sedia ada dapat menggalas misi tersebut asalkan kami tidak dibebani dengan masalah luar padang sebagaimana musim lepas.

"Saya juga harap pemain, jurulatih dan pihak pengurusan dapat berganding bahu untuk merealisasikan impian penyokong yang mahu Kelantan ke Liga Super musim depan," katanya.




Yusri juga memandang serius aksi pembukaan menentang skuad lamanya, Kuala Lumpur, di gelanggang sendiri Sabtu ini untuk memburu mata pertama dalam saingan Liga Perdana.

"Kuala Lumpur sebuah pasukan yang hebat jika dinilai daripada aksi pra-musim.

"Saya tidak pandang mudah dan pemain akan memberikan aksi terbaik untuk mengatasi cabaran skuad Warga Kota itu," tambahnya.


Kredit Foto: Kelantan FA