Bekas penolong jurulatih kelab Thailand, Royal Thai Navy FC, Wanderley Junior, menjadi pengendali terbaharu Kuala Lumpur bagi menggantikan Ismail Zakaria yang mengambil keputusan mahu berehat.

Walaupun diberi kontrak percubaan selama enam bulan, Wanderley bertekad mahu mengambil peluang berkenaan untuk membuktikan kredibilitinya mengendalikan skuad itu.

Ditambah kehadiran beberapa pemain tempatan berkualiti seperti Azmeer Yusof dan Abdul Manaf Mamat, ia dijangka memudahkan perancangan Wanderley.

"Saya fikir dalam bola sepak, tiada masalah, kadang-kadang perlu mempunyai konsistensi. Bagi saya, kejayaan adalah perkara biasa.

"Saya mempunyai masa dalam minggu ini untuk mengenali pemain dan juga penolong saya, bagi membentuk kerjasama," katanya.

Selain itu, Wanderley kini dalam pencarian untuk mendapatkan seorang lagi pemain import bagi kuota Asia di bahagian pertahanan selepas mengikat dua pemain import dari Argentina.

Chammoro Chakki bakal menjadi taruhan utama Kuala Lumpur di bahagian serangan, selain Alesandro Dul di bahagian tengah.

"Kami sudah mengetahui dan pihak pengurusan telah memaklumkan kepada saya apa yang mereka mahukan. Sekarang, mereka mencari seorang pemain pertahanan import.

"Kini, kami mempunyai seorang pemain yang sedang menjalani tempoh percubaan dan kami memintanya untuk beraksi bersama pemain lain untuk melihat adakah dia boleh beraksi bersama pasukan ataupun tidak."

Kuala Lumpur menamatkan saingan Liga Perdana musim ini di tangga kelima dengan meraih sembilan kemenangan, lapan kekalahan dan lima seri selepas mengharungi 22 perlawanan.