Wan Abdul Rahim lepas jawatan presiden KAFA 

Oleh Bernama 20 Julai 2020 269
Wan Abdul Rahim lepas jawatan presiden KAFA 
Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah melepaskan jawatan sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) selepas setahun menerajui badan induk bola sepak negeri itu. 

Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman, mengesahkan peletakan jawatan Wan Rahim itu atau lebih dikenali ‘Cikgu Rahim’ bagi menerajui KAFA.

"Peletakan jawatan itu berkuat kuasa sejak 6 Julai lalu, iaitu genap setahun beliau menjadi presiden KAFA selepas dipilih dalam Kongres Luar Biasa (EGM) Julai 2019.

"Beliau membuat keputusan melepaskan jawatan itu susulan tidak lagi mampu  memimpin KAFA dan untuk memberikan laluan kepada pemimpin baru bagi memimpin persatuan berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama di  Kota Bharu hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Wan Abdul Rahim dan Timbalan Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah, 'direhatkan' buat sementara waktu daripada menguruskan persatuan itu yang tenat dengan pelbagai isu terutama hutang dan kewangan.

Husin berkata, buat sementara waktu pihaknya masih belum memikirkan untuk mengadakan pemilihan presiden baru bagi mengisi kekosongan itu.

Beliau berkata KAFA yakin pemangku Presiden, Datuk Shaari Mat Husin, mampu untuk menangani permasalahan dan kemelut yang dihadapi persatuan itu bagi meghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M).

"Keyakinan itu berdasaran prestasi dan gerak kerja yang dilakukan oleh Shaari ketika ini apabila diberikan tanggungjawab untuk memimpin KAFA sebagai pemangku presiden dan timbalan presiden," katanya.

Katanya, buat masa ini Afandi masih lagi timbalan presiden namun direhatkan dari menguruskan persatuan itu.

"Kami (KAFA) berterima kasih kepada Wan Rahim sepanjang memberikan khidmat bersama persatuan walaupun setahun," katanya.

-- BERNAMA

 


 

Tentang Penulis

Bernama

Komen