Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), hari ini membuat keputusan drastik apabila menerima keputusan presiden Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan timbalannya, Datuk Seri Afandi Hamzah untuk 'berehat sementara' daripada menjalankan tugas pentadbiran.

Manakala, Naib Presiden, Datuk Shaari Mat Hussain pula diberi mandat bagi menguruskan persatuan itu berkuatkuasa serta-merta.

Afandi dalam sidang media menjelaskan, keputusan itu dibuat atas kepentingan menyelamatkan KAFA sambil bersandarkan kepada ketokohan yang dimiliki Shaari.

"Keputusan kami berdua (untuk berehat) telah dipersetujui oleh exco KAFA dan tindakan ini sebenarnya bagi memberikan laluan kepada perubahan struktur persatuan buat sementara waktu.

"Dengan mandat ini, Datuk Shaari akan menguruskan KAFA sehingga satu tempoh yang bakal ditetapkan.


"Kami juga meletakkan kepercayaan kepada beliau untuk melakukan sesuatu bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh persatuan," ulasnya.

Sementara itu, Shaari menerangkan, beliau bersama barisan exco yang ada akan berusaha gigih mencari jalan bagi menyelesaikan hutang lapuk yang sedang membelenggu KAFA.

"Saya sudah bersama dengan KAFA sejak 2006 lagi. Sudah masak dengan asam garam persatuan ini. Biarpun tidak diberi sebarang tempoh masa untuk menyelesaikan masalah hutang ini, namun kami cuba selesaikan secara berperingkat sambil melihat kewangan pasukan," katanya.