Ketua jurulatih PDRM, E. Elavarasan, menganggap usaha pasukannya akan menjadi sia-sia seandainya gagal ke Liga Super musim depan,sambil mengharapkan pemainnya memastikan slot berkenaan menjadi milik mereka.

The Cops mempamerkan kebangkitan luar biasa apabila melonjak daripada kelompok bawahan ke tangga ketiga Liga Perdana ketika saingan hanya berbaki satu perlawanan.

Perubahan drastik itu berlaku hasil usaha keras pemain semenjak di bawah bimbingan pengendali itu selain sokongan padu pihak pengurusan tertinggi skuad Sang Saka Biru itu.

Namun, usaha itu mungkin menjadi sia-sia jika misi ke Liga Super gagal direalisasikan ketika pasukan berkenaan sudah sebelah kaki untuk menggapainya.

"PDRM memang akan berusaha untuk layak ke Liga Super.

"Sama juga dengan Pulau Pinang dan keempat-empat pasukan.

"Kalau kami tidak layak, saya rasa rugilah.

"Bukan selalu anda dapat peluang seperti ini.

"Pemain juga sedar, jika mereka berusaha, mereka hanya tinggal selangkah lagi.

"Saya rasa perlawanan ini akan menjadi sangat menarik," katanya.

PDRM kini memerlukan kemenangan dalam aksi terakhir menentang Pulau Pinang di laman sendiri, Sabtu ini untuk mengesahkan kelayakan.

Jika berlaku sebaliknya, peluang mereka untuk kembali ke pentas utama Liga Malaysia itu pasti terkubur selepas kali terakhir melakukannya pada 2016.

"Saya rasa keempat-empat pasukan dalam kelompok ini ada peluang, bukan kami sahaja.

"Negeri Sembilan akan bertemu UiTM, kami pula akan berdepan Pulau Pinang.

"Keempat-empat pasukan ini sedang berusaha untuk mendapatkan slot kedua (ke Liga Super).

"Tetapi kami sudah berusaha lama, daripada bawah hingga ke atas.

"Saya rasa perlawanan ini penting dan pengalaman pemain dan jurulatih akan menentukan (keputusan) perlawanan-perlawanan seperti ini," tambahnya.