UKM FC semakin hampir ke Liga Perdana

Oleh Penulis Jemputan 26 November 2018 1166
UKM FC semakin hampir ke Liga Perdana
Nasib UKM FC untuk beraksi dalam Liga Perdana musim depan akan diketahui dalam masa terdekat selepas Malaysia Football League (MFL) mengesahkan telah menerima surat rayuan daripada pihak pengurusan pasukan itu, Jumaat lalu.

Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd Shazli Mohd Shaik, menjelaskan keputusan mengenai status pasukan itu boleh diketahui dalam tempoh 24 jam.

Menurutnya, pihak UKM telah mengemukakan segala sebab bagi meminta pendaftaran pemain ditangguhkan dan akan dinilai sepenuhnya pihak Lembaga Pengarah MFL.

Jika diterima, UKM perlu menubuhkan pasukan Piala Presiden dan Piala Belia bagi menyertai Liga Perdana 2019.

"Permohonan dan pengesahan daripada surat yang kami terima menunjukkan mereka bersungguh-sungguh untuk menyertai Liga Perdana.

"Apapun, keputusan hanya dapat dikeluarkan oleh Ahli Lembaga Pengarah," katanya.

Dalam pada itu, Shazli mengesahkan MISC-MIFA telah memberikan reaksi positif untuk beraksi dalam saingan Liga Super bagi menggantikan Felcra FC yang menarik diri.

MISC-MIFA hanya perlu memenuhi beberapa kriteria pelesenan, terutama daripada aspek pentadbiran dan kewangan yang masih belum lengkap.

"MIFA sedang mempersiapkan beberapa perkara dalam proses pelesenan.

"Setakat ini, segalanya kelihatan positif.

"Mereka juga memaparkan keinginan yang tinggi untuk beraksi dalam saingan Liga Super," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen