UKM FC masih belum berputus asa untuk kekal bersaing dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim depan apabila bertindak menghantar rayuan kedua kepada Malaysia Football League (MFL), hari ini.

Ketua jurulatihnya, Sulaiman Hussein, merupakan individu paling kecewa sebaik mengetahui keputusan rayuan terdahulu tidak memihak kepada mereka, semalam.

Baginya, keputusan itu cukup berat untuk ditanggung pasukannya memandangkan mereka hanya berdepan masalah pertukaran pentadbiran yang menjadi punca kepada permohonan penangguhan pendaftaran.

Sulaiman menegaskan mereka masih mahu beraksi dalam Liga-M dan memohon jasa baik MFL untuk lebih bertimbang rasa.

"MFL sebagai bapa kepada kami seharusnya mendidik kami sebagai anak dan bukannya menghukum kami seperti itu.

"Kami mahu kekal beraksi dalam Liga-M untuk tempoh yang lama.

"UKM FC telah menghantar surat rayuan kedua dan kami mengharapkan pertimbangan yang sewajarnya daripada pihak MFL," katanya.

Sementara itu, kapten UKM FC, Asnan Ahmad, tidak menyangka pengakhiran sebegitu dialami pasukan yang disertainya sejak 2013 itu.

Menurutnya, majoriti pemain mereka merupakan mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan sukar mencari pasukan lain disebabkan komitmen yang terikat dengan pembelajaran.

"Saya amat kecewa memandangkan pasukan ini telah dibina selama lima tahun.

"Kebanyakan pemain merupakan pelajar di sini dan sudah lama menabur bakti bersama pasukan," katanya.