UKM beri bayangan kekal bersaing dalam Liga Perdana

Oleh Staff Writer 26 Disember 2018 151
UKM beri bayangan kekal bersaing dalam Liga Perdana
Walaupun belum ada makluman rasmi, UKM FC seolah-olah sudah memberi bayangan yang mereka kekal beraksi dalam Liga Perdana musim depan apabila sudah memulakan latihan sejak Isnin lalu.

Jurulatih, Sulaiman Hussin, yang terus kekal mengemudi UKM musim depan enggan memberi jawapan khusus terhadap persoalan itu, namun positif mengenai peluang pasukannya.

Malah, pemilihan pemain bagi musim depan cukup rancak dijalankan dengan kira-kira 25 pemain datang mencuba nasib.

Hanya mengetahui jawapan esok, Sulaiman yakin berita gembira akan memihak kepada UKM selepas pertemuan positif pihak pengurusan dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum ini.

"Kami melakukan persiapan sebelum MFL membuat pengumuman mengenai pasukan yang bakal bersaing dalam Liga Perdana bagi musim 2019," kata Sulaiman.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada MFL kerana membenarkan kami untuk membuat rayuan bagi kekal bersaing dalam Liga Perdana."

Mengenai tawaran jawatan pengarah teknikal Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) yang diperolehnya, Sulaiman belum memberikan sebarang kepastian.

Menurutnya, beliau hanya bersedia menerima tawaran itu jika KLFA sedia memberikan kelonggaran jika dia boleh kekal melatih UKM dalam masa sama.

"Saya telah meluahkan hasrat untuk terus kekal mengendalikan UKM. Jika dipersetujui oleh KLFA, saya akan menjalankan tugas daripada segi pembangunan pasukan tersebut."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen