UiTM, Selangor II sudah berlatih semalam 

Oleh Bernama 18 Jun 2020 17
UiTM, Selangor II sudah berlatih semalam 
Selepas Negeri Sembilan mula menjalani latihan kelmarin, UiTM FC dan Selangor II pula menjadi pasukan terbaru untuk menyambung sesi latihan masing-masing, semalam.

Latihan itu dimulakan apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberikan kebenaran untuk pasukan bola sepak memulakan latihan bermula 15 Jun lalu berdasarkan prosedur operasi Standard (SOP) yang ditetapkan selepas lebih tiga bulan Liga Malaysia (Liga-M) ditangguhkan sejak 16 Mac lalu, susulan penularan COVID-19.

Skuad UiTM FC kendalian bekas ketua jurulatih skuad bawah-23 tahun negara, Frank Bernhardt, berlatih di tiga padang berbeza dengan dua kumpulan pemain ditempatkan di Padang Sintetik UiTM, manakala satu lagi kumpulan di Stadium UiTM Shah Alam.

Ketua pasukan UiTM FC, Muhd Faizal Mohd Arif, berkata pengalaman mengikuti latihan pada hari pertama di bawah SOP tertentu jelas memberikan perbezaan ketara, namun beliau mengakui itu sebagai satu norma baharu yang perlu diterima semua pemain.

Faizal juga memahami keperluan mengikuti SOP itu sebagai satu tanggungjawab bersama dalam membendung penularan wabak COVID-19, selain memastikan tiada masalah besar yang boleh timbul jika ada mana-mana pemain lain dijangkiti virus berkenaan.





“Tiga bulan tidak berlatih sememangnya terasa satu kelainan ketara sebaik kembali di atas padang apabila kena berlari dan pelbagai latihan lain, walaupun kami semua ada berlatih sesama sendiri di alam maya. Memang banyak perkara kena biasakan dengan SOP ini, terutama tidak boleh berkongsi air minuman.

“Waktu latihan selama 45 minit juga dirasakan amat sekejap kepada kami yang selalunya berlatih untuk tempoh satu setengah jam. Selepas latihan, kami tidak dibenarkan berkumpul untuk berbual dan perlu segera pulang ke rumah untuk membersihkan diri,” katanya menerusi kenyataan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Sementara itu, ketua pasukan Selangor II, Sharul Nazeem Zulpakar, yang senada dengan Faizal berharap liga dapat bersambung lebih awal, namun mengakui semuanya bergantung kepada keputusan MFL dan kerajaan.

“Selepas menjalani hari pertama latihan, saya rasa begitu berbeza sekali, kerana latihan tidak boleh berkumpulan seperti sebelum ini apabila dihadkan kepada 10 pemain dan empat jurulatih sahaja di padang.

“Jika keadaan dah semakin pulih, saya harap liga boleh bermula awal tetapi apa pun sebagai pemain, saya ikut sahaja keputusan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan MFL, malah  pemain juga perlu membuat persiapan untuk menghadapi liga yang akan bermula tak lama lagi,” katanya.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, menegaskan latihan fasa pertama bakal menjadi penanda aras penting buat pasukan sebelum pengendali liga tempatan itu melanjutkan proses kepada fasa kedua.

Ia kerana proses kepada fasa kedua, iaitu latihan secara sentuhan fizikal akan menjadi lebih cerah jika kesemua pasukan patuh serta disiplin mengikuti setiap SOP ketika menjalani sesi latihan dalam fasa pertama.

-- BERNAMA

 

Tentang Penulis

Bernama

Komen